Abu Laits as-Samarqandi
adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata,
ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima
wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka salah
seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam
bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar
dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat,
pertama; apa yang negkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau
sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan
harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."
Pada keesokan
harinya, Nabi itu pun keluar dari
rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah
bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku
diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang
mustahil yang tidak dapat dilaksanakan." Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan
hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri
sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu
disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur
'Alhamdulillah'.
Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu
bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya
supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan
mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar
semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut.
Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu
dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas
itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.
Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak
seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah
burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar
rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan
dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu
pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku
sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah
engkau patahkan harapanku dari rezekiku."
Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya
yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk
menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil
pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu.
Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam
bajunya. Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian
dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas
lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya.
Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya.
Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku
telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku,
maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."
Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T.
bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak
besar seperti bukittetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta
menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu. Kedua;
semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak
jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat
kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi
membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang busuk itu
ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang
sedang duduk berkumpul membuat ghibah."
Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah
kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja
berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan
setiap hari ialah
mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang
lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan
menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah
dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang
Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."
Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala
orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar
bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu
akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata
hal orang walaupun ia benar.
kiriman kang Sannuy
|